Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI S.A.W.


SOLAT QIYAM AL-LAIL (TAHAJJUD)

APA ITU SOLAT TAHAJJUD DAN DALIL YANG MENSYARI’ATKANNYA

Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.

Maksudnya:
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud). - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Shiyam, no: 1163.

Tahajjud terbentuk dari kata dasar hajjada yang bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Maka kata tahajjadtu bermaksud saya telah membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya.

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani rahimahullah:

Imam al-Thabari berkata: “Tahajjud adalah berjaga setelah tidur terlebih dahulu.”… Ibnu Faris berkata: “Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat di malam hari.” Sedangkan al-Kurra’ menyatakan: “Tahajjud adalah solat malam secara khusus.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203.

Oleh itu solat Tahajjud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam iaitu setelah mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk dilaksanakan solat Tahajjud itu adalah sepertiga malam yang terakhir (iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh). Solat sunat Tahajjud ini kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat Witir sebagai penutupnya.

Dalil disyariatkan solat Tahajjud ini adalah sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Maksudnya:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. - al-Israa’ (17) : 79

Di dalam kitab al-Majaz oleh Abu Ubaidah disebutkan: “Firman-Nya “kerjakanlah solat Tahajjud padanya” bermaksud berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202.

Dalil solat Tahajjud lebih utama dilakukan pada sepertiga malam terakhir disandarkan kepada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ.

يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ.

Maksudnya:
Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1145.

Selanjutnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ

أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ.
Maksudnya:
Saat yang paling dekat di antara Allah dan hamba-Nya adalah pada tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagian daripada mereka yang mengingati Allah pada saat itu maka lakukanlah. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Da’waat, no: 3503.

Ternyata ibadah yang di dalamnya terdapat doa-doa, zikir-zikir, permintaan-permintaan dan permohonan ampun adalah solat. Maka selayaknya solat yang paling utama setelah solat fardu ini dilaksanakan pada sepertiga malam yang akhir.


JUMLAH RAKAAT SOLAT TAHAJJUD

Secara umumnya solat Tahajjud ini boleh dilakukan dengan dua rakaat-dua rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah ianya juga boleh dilaksanakan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’ anhuma, dia berkata:

إِنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ.

قَالَ: مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ.

Maksudnya:
Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam? Baginda bersabda: Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1137.

Namun begitu jumlah rakaat yang paling utama adalah dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat kerana jumlah ini adalah sebagaimana yang kebiasaannya dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا بِوَاحِدَةٍ.

Maksudnya:
Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam solat malam pada waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.

Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الْوِتْرُ وَرَكْعَتَا الْفَجْرِ.

Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa solat pada malam hari tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1140.

Abu Salamah radhiallahu’ anh pernah bertanya kepada ‘Aishah radhiallahu’ anha tentang solat malam Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadan. Maka ‘Aishah menjawab:

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.

ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا.
Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menambah pada bulan Ramadan dan tidak pula pada bulan-bulan lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat (witir). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1147.

Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat Tahajjud ini juga boleh dikerjakan secara empat rakaat-empat rakaat. Ianya boleh dikerjakan sebagaimana tatacara solat fardu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyyat serta satu salam

Sekiranya Nabi s.a.w mengerjakan solat Tahajjud dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat, adakah diperbolehkan bagi kita semua mengerjakannya dengan jumlah rakaat yang mengatasi jumlah rakaat yang dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam? Menurut Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim:

Majoriti ulamak –baik daripada kalangan salaf mahupun khalaf- justeru berpendapat diperbolehkan untuk menambah bilangan rakaat Qiyam al-Lail melebihi sebelas rakaat walaupun mereka tetap menyatakan bilangan sebelas rakaat adalah bilangan yang disunnahkan. Al-Qadhi Iyadh berkata:
Tidak ada perbezaan di kalangan para ulamak bahawa tidak ada batasan yang dilarang, baik untuk menambah atau mengurangkan dalam masalah ini (jumlah bilangan rakaat Qiyam al-lail). Solat adalah satu bentuk ketaatan yang setiap kali bertambah jumlah bilangannya, maka pahalanya pun bertambah. Isu yang menjadi perselisihan adalah hal yang berkenaan dengan perbuatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang telah baginda pilih untuk dirinya. Wallahu a’lam.
Ibnu ‘Abdul Barr dalam kitab al-Tamhid berkata:
Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan umat Islam bahawa tidak ada batasan tertentu untuk solat malam. Solat ini adalah salah satu perbuatan sunnah dan kebajikan, sesiapapun boleh melakukannya sedikit dan boleh memperbanyakannya.
Aku (iaitu Syaikh Kamal) katakan: Hal ini menunjukkan bahawa pendapat inilah yang kuat. - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 653.


TATACARA RINGKAS MENGERJAKAN SOLAT TAHAJJUD

A) Tatacara Solat Tahajjud Dua Rakaat

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Tahajjud
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

Ulangilah solat dua rakaat ini sebanyak mana yang disukai dan diakhirkan dengan solat Witir. Hanya sahaja yang afdal adalah mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengerjakan solat Qiyam al-Lail ini (yakni solat Tahajjud dan Witir) tidak melebihi sebelas atau tiga belas rakaat.

B) Tatacara Solat Tahajjud Empat Rakaat

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Tahajjud
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat awal
3) Bangun untuk rakaat ketiga

Rakaat Ketiga
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Bangun untuk rakaat keempat

Rakaat Keempat
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

Ulangilah solat empat rakaat ini sebanyak mana yang disukai dan diakhirkan dengan solat Witir. Hanya sahaja yang afdal adalah mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengerjakan solat Qiyam al-Lail ini (yakni solat Tahajjud dan Witir) tidak melebihi sebelas atau tiga belas rakaat.


BEBERAPA SUNNAH DALAM MELAKSANAKAN SOLAT TAHAJJUD

Niat Untuk Mengerjakan Solat Tahajjud Sebelum Tidur
Adalah disunatkan untuk tidur terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat Tahajjud. Oleh itu bagi mereka yang hendak melaksanakan solat Tahajjud, hendaklah dia berniat sebelum tidur bahawa dia akan melaksanakan solat tersebut. Sekiranya seseorang itu telah berniat namun dia gagal untuk terjaga dari tidurnya bagi mengerjakan solat Tahajjud, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala tetap akan mengurniakan pahala solat Tahajjud tersebut. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَا مِنْ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلاَةٌ بِلَيْلٍ فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا نَوْمٌ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ صَلاَتِهِ

وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ.

Maksudnya:
Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan tidurnya merupakan sedekah untuknya. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1763.

Cara Untuk Menghilangkan Mengantuk
Apabila terjaga dari tidur untuk melaksanakan solat Tahajjud hendaklah berusaha untuk menghilangkan perasaan mengantuk dari wajah dengan bersugi atau menggosok gigi dan setelah itu mengucapkan zikir La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli shayin qadir alhamdulillah wa subhanallah wa la ilaha illallah wallahu akbar wa la haulawala quwwata illa billahi. Allahummaghfirli. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ.

لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.

ثُمَّ قَالَ: "اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي" أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.

Maksudnya:
Barangsiapa terbangun pada malam hari lalu mengucapkan: Tidak ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk nescaya diterima solatnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1154.

Satu cara lagi untuk menghilangkan perasaan mengantuk adalah sebaik sahaja bangun dari tidur hendaklah kita mengusap wajah kita lalu membaca sepuluh ayat terakhir dari surah ‘Ali Imran.

Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, dia berkata:

اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ

ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ الآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ.

Maksudnya:
Pernah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun tidur, lalu menghilangkan rasa mengantuk dengan cara mengusapkan tapak tangannya pada wajahnya. Baginda kemudiannya membaca sepuluh ayat terakhir surah ‘Ali Imran. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 763.

Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Megerjakan Solat Tahajjud
Hendaklah dikerjakan solat dua rakaat yang ringan sebelum memulakan solat Tahajjud. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنْ اللَّيْلِ فَلْيَفْتَتِحْ صَلاَتَهُ بِرَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ.
Maksudnya:
Jika salah seorang dari kalian ingin melaksanakan solat malam, maka hendaklah dia memulai solat malamnya dengan mengerjakan (solat) dua rakaat dengan agak cepat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 768.

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

Al-Hafidz Abu al-Fadhl bin al-Husain menyebutkan dalam kitab Syarah al-Tirmidzi bahawa rahsia solat malam dimulai dengan dua rakaat yang ringan adalah untuk segera melepaskan ikatan syaitan. – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari jilid 6, ms. 273.

Pendapat di atas ini ada hubung-kaitnya dengan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ.

يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ. فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ.

فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ.

فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.

Maksudnya:
Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila kamu tidur dengan tiga ikatan. Ia menepukkan pada setiap ikatan; bagimu malam yang panjang maka tidurlah. Apabila kamu bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk maka terbuka pula satu ikatan. Apabila kamu bersolat terbukalah satu ikatan. Maka di pagi hari kamu akan bersemangat dan merasa segar. Jika tidak nescaya di pagi hari perasaannya buruk dan malas. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1142.

Dari hadis ini dapat kita simpulkan bahawa ikatan ketiga itu hanya dapat dilepaskan setelah kita melakukan solat yang sempurna. Oleh itu solat dua rakaat sebelum solat Tahajjud memainkan peranan tersebut. Setelah itu dapatlah kita mengerjakan solat Tahhajud dengan penuh semangat dan kesegaran. Wallahu’alam.

Mengerjakannya Di Rumah
Adalah lebih utama sekiranya solat Tahajjud tersebut dilakukan di rumah sendiri dan bukan di masjid. Ini adalah kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa melakukan solat Tahajjud di rumahnya sendiri. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِالصَّلاَةِ فِي بُيُوتِكُمْ! فَإِنَّ خَيْرَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ.

Maksudnya:
Hendaklah kalian solat di rumah kalian! Kerana sebaik-baik solat seseorang itu adalah di rumahnya kecuali solat wajib. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 781.

Doa Solat Tahajjud
Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat satu doa khusus untuk solat Tahajjud. Namun begitu terdapat perbezaan pendapat tentang di mana hendak membaca doa tersebut. Ada yang menyatakan ianya dibaca ketika berdiri hendak memulakan solat tahajjud dan ada pula yang beranggapan ianya diucapkan setelah takbiratul ihram sebagai doa iftitah. Doa tersebut adalah sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, dia berkata: Biasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam apabila solat di malam hari untuk tahajjud maka baginda mengucapkan:

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ

وَلَكَ الْحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ

وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ

وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ

وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ

وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ

اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ

فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ

أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَوْ لاَ إِلَهَ غَيْرُكَ.

Ya Allah, bagi Mu segala puji. Engkau pencipta dan pemelihara (pengatur) langit dan bumi serta segala isinya. Bagi Mu segala puji, kepunyaan Mu kerajaan langit dan bumi serta segala isinya. Bagi Mu segala puji, Engkau adalah nur (cahaya) langit dan bumi. Bagi Mu segala puji, Engkau lah penguasa langit dan bumi. Bagi Mu segala puji, Engkau adalah haq (Maha Benar), janji Mu adalah benar, pertemuan dengan Mu adalah benar, firman Mu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah, hanya kepada Mu aku berserah diri, kepada Mu aku beriman, kepada Mu aku bertawakal dan hanya kepada Mu aku kembali. Kerana Engkau aku memusuhi dan hanya kepada Mu aku mengambil keputusan. Ampunilah aku atas segala yang telah aku lakukan dan apa yang akan aku lakukan, apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku nyatakan. Engkau lah zat yang Maha Awal dan Maha Terakhir, tidak ada sembahan kecuali Engkau.

Sufyan berkata: ‘Abdul Karim Abu Umayyah menambahkan:

وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.

Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dari Allah. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1120.

Membangunkan Ahli Keluarga Untuk Mengerjakan Solat Tahajjud
hendaklah membangunkan ahli keluarga untuk mengerjakan solat Tahajjud. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّى ثُمَّ أَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ.

فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ. وَرَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ

ثُمَّ أَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَصَلَّى. فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ.

Maksudnya:
Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan isterinya lalu isterinya juga solat. Jika isterinya enggan maka si suaminya memercik wajah isteri dengan air. Semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan suaminya. Jika suaminya enggan maka si isterinya memercik wajah suami dengan air. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1592.

Boleh Mengeraskan atau Memperlahankan Bacaan
Diperbolehkan untuk mengeraskan (jahr) dan memperlahankan (sirr) bacaan ketika solat Tahajjud kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah membaca dengan kedua-dua cara tersebut.

Daripada ‘Abdullah bin Abi Qais, dia berkata:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ عَنْ وِتْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ ...

كَيْفَ كَانَتْ قِرَاءَتُهُ أَكَانَ يُسِرُّ بِالْقِرَاءَةِ أَمْ يَجْهَرُ.

قَالَتْ: كُلَّ ذَلِكَ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا أَسَرَّ وَرُبَّمَا جَهَرَ...

Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah tentang solat Witir Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam …: Bagaimanakah bacaan Baginda ketika solat, adakah dengan suara keras atau suara yang perlahan?
Dia menjawab: Kesemua cara tersebut baginda amalkan, kadang-kadang dengan suara perlahan dan kadang-kadang dengan suara keras. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1225.

Berkaitan dengan hal ini Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

Telah banyak dibawakan hadis-hadis yang menerangkan keutamaan mengeraskan suara dan hadis-hadis yang menjelaskan keutamaan merendahkan suara. Para ulamak berkata: Untuk menggabungkan antara keduanya boleh dikatakan bahawa suara perlahan lebih jauh dari perasaan riyak dan ini lebih utama bagi orang yang khuatir akan memiliki perasaan riyak, namun apabila dia tidak takut riyak maka suara keras itu lebih utama baginya dengan syarat tidak mengganggu orang lain yang sedang solat, tidur atau selainnya. – Dinukil dari Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 647.

Memanjangkan Kadar Waktu Mengerjakan Solat Tahajjud
Hendaklah memanjangkan berdiri ketika solat iaitu dengan membaca surah yang panjang dan melamakan sujud tatkala solat Tahajjud. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلاَةِ طُولُ الْقُنُوتِ.
Maksudnya:
Solat yang paling utama adalah solat yang paling lama berdirinya. Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 756.

Daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh, dia berkata:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَلَمْ يَزَلْ قَائِمًا حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ.

قُلْنَا: وَمَا هَمَمْتَ. قَالَ: هَمَمْتُ أَنْ أَقْعُدَ وَأَذَرَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya:
Aku pernah solat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu malam, baginda tetap sahaja berdiri hingga aku ingin melakukan perbuatan yang buruk. Kami bertanya: Apakah yang ingin kamu lakukan? Dia menjawab: Aku ingin duduk dan membiarkan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat sendirian. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1135.

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

Dalam hadis di atas terdapat keterangan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memilih untuk memperpanjangkan solat malam. Ibnu Mas’ud adalah seorang yang kuat dan senantiasa mengikuti Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Tidak terdetik di dalam dirinya keinginan untuk duduk, melainkan kerana panjangnya solat tersebut melebihi kebiasaan yang beliau lakukan. – Rujuk kitab karya Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 248.

Hendaklah juga membaca ayat-ayat al-Qur’an tersebut secara tartil dan suara yang bagus. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

…dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil" (secara perlahan-lahan). – al-Muzammil (73) : 4

Daripada Hafshah radhiallahu’ anha, dia berkata:

وَكَانَ يَقْرَأُ بِالسُّورَةِ فَيُرَتِّلُهَا حَتَّى تَكُونَ أَطْوَلَ مِنْ أَطْوَلَ مِنْهَا.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika membaca surah (al-Qur’an) baginda membacanya dengan tartil hingga seakan-akan surah itu lebih panjang dari biasanya. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.

Disunnahkan juga membacanya dengan suara yang baik serta berlagu. Al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu’ anh berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Hiasilah (bacaan) al-Qur’an dengan suaramu. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Iftitah, no: 1005.

Menurut Abu Hurairah radhiallahu’ anh:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ وَزَادَ غَيْرُهُ يَجْهَرُ بِهِ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah termasuk golongan kami orang yang tidak melagukan (bacaan) al-Qur’an. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tawhid, no. 7527.

Ingin penulis ingatkan bahawa mereka yang membaca surah atau ayat dari al-Qur’an dengan laju dan tergesa-gesa adalah termasuk dalam golongan yang mengambil sikap sambil lewa dalam beribadah. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

Bacaan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu ialah secara panjang (perlahan-lahan). Baginda berhenti pada setiap ayat dan memanjangkan suaranya.” – Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms 338.

Namun demikian janganlah kita keterlaluan dalam melagukan bacaan al-Qur’an sehingga bertentangan dengan peraturan-peratutan (tajwid – pen) dalam membacanya. Syaikh Kamal al-Sayyid Salim berkata:

Maksud melagukan bacaan al-Qur’an adalah dengan membaguskan suaranya secara keras dan melantunkannya dengan nada yang lembut sehingga mempengaruhi jiwa dan dapat mengalirkan air mata dengan syarat tidak keluar dari aturan membaca yang benar menurut ahli Qira’at. Adapun bacaan yang meliuk-liuk dengan nyanyian yang di luar batasan sehingga menyebabkan keluar dari semestinya, maka jumhur ulamak tidak menyukainya (makruh). Wallahu a’lam. - rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 645.

Hanya sahaja pendek atau panjangnya bacaan ketika solat bergantung kepada kemampuan masing-masing kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menetapkan bacaan tertentu untuk solat Tahajjud ini. Sekiranya tidak mampu menghafal surah yang panjang, memadailah dengan apa yang termampu untuk dibacakan. Dari Abi Sa’id radhiallahu’ anh, dia berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نَقْرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَمَا تَيَسَّرَ.
Maksudnya:
Kami telah diperintah (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) supaya kami membaca al-Fatihah dan apa-apa (ayat/surah) yang mudah (bagi kami). - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 695.

Dalil tentang memanjangkan sujud pula adalah sebagaimana yang telah diperjelaskan oleh ‘Aishah radhiallahu’ anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

كَانَتْ تِلْكَ صَلاَتَهُ يَسْجُدُ السَّجْدَةَ مِنْ ذَلِكَ قَدْرَ مَا يَقْرَأُ أَحَدُكُمْ خَمْسِينَ آيَةً

قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ رَأْسَهُ.

Maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa solat (malam) sebelas rakaat, demikianlah solat yang baginda lakukan. Baginda melakukan satu kali sujud dari sebelas rakaat itu seperti lamanya seperti salah seorang dari kalian membaca lima puluh ayat sebelum baginda mengangkat kepalanya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1123.

Sujud tersebut dipanjangkan kerana baginda shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakan doa ketika sujud. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ.
Maksudnya:
Saat yang paling dekat bagi seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya, ialah ketika dia sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyakan doa ketika sujud itu. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 482.

Demikianlah beberapa amalan yang sabit datangnya daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sepatutnya kita berusaha untuk mencontohinya demi untuk mencapai kesempurnaan ketika mendirikan solat Tahajjud.


KESUNGGUHAN RASULULLAH DALAM MELAKSANAKAN SOLAT TAHAJJUD

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang insan yang telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala akan masuk ke syurga. Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam juga merupakan sebaik-baik manusia malah digelar Sayyid al-Mursalin iaitu penghulu segala Rasul. Baginda merupakan seorang insan yang maksum dan bebas dari sebarang bentuk dosa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا

Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). – al-Fath (48) : 2

Walaupun dengan kedudukan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam yang sebegini sempurna tetapi baginda tetap bersungguh-sungguh dalam mengerjakan solat Tahajjud sehingga bengkak-bengkak kakinya. Isterinya ‘Aishah radhiallahu’ anha melihat sendiri kesungguhan luar biasa baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masih ingin bersusah payah melakukan ibadah tersebut sedangkan dia adalah seorang yang maksum. Kisah ini telah disampaikan oleh ‘Aishah radhiallahu’ anha sendiri di dalam sebuah hadis:

أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَفَطَّرَ قَدَمَاهُ.

فَقَالَتْ عَائِشَةُ: لِمَ تَصْنَعُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ.

قَالَ: أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا.

Maksudnya:
Sungguh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. ‘Aishah berkata kepada baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur? - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Tafsir al-Qur’an, no: 4837.

Peristiwa yang sama juga telah dikhabarkan dari al-Mughirah radhiallahu’ anh, dia berkata:

إِنْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَقُومُ لِيُصَلِّيَ حَتَّى تَرِمُ قَدَمَاهُ أَوْ سَاقَاهُ.

فَيُقَالُ لَهُ فَيَقُولُ: أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا.

Maksudnya:
Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa berdiri (untuk solat malam) hingga kedua kakinya atau kedua betisnya bengkak. Dikatakan kepadanya maka baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang bersyukur? - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1130.

Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan untung nasib kita di Hari Pengadilan juga belum dipastikan sama ada syurga atau neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat Tahajjud ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Renungilah akan hal ini dengan mendalam wahai pembaca yang budiman.


KEUTAMAAN SOLAT TAHAJJUD

Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan pelbagai keutamaan yang besar bagi mereka yang melaksanakan solat Tahajjud ini sebagaimana yang akan penulis paparkan di sini.

Dikurniakan Kedudukan Yang Terpuji.
Mereka yang mengerjakan ibadah pada malam hari akan dikurniakan kedudukan yang terpuji lagi mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala pada hari akhirat kelak yakni dengan menjadi ahlul jannah (ahli syurga). Ini sebagaimana Firman-Nya:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
Maksudnya:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. - al-Israa’ (17) : 79


إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ

آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَٰلِكَ مُحْسِنِينَ

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). - al-Dzaariyaat (51) : 15-18

q Memudahkan Seseorang Untuk Menjadi Ahli Syurga
Bagi mereka yang mendirikan solat Tahajjud akan memudahkan baginya untuk menjadi ahli syurga.

Daripada ‘Abdullah Ibnu Salam bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ.

Maksudnya:
Wahai manusia, tebarkan salam di antara kalian, berilah makan (kepada mereka yang memerlukannya, sambunglah silaturrahin, dan solatlah pada malam hari pada ketika manusia terlelap dalam tidur, maka kalian akan masuk Syurga dengan damai. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunnannya, Kitab Iqaamah al-Sholaah, no. 1334.

Dikurniakan Bilik Khas Di syurga Nanti
Di dalam syurga juga terdapat bilik yang khusus bagi mereka yang mengerjakan solat Tahajjud. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ غُرَفًا تُرَى ظُهُورُهَا مِنْ بُطُونِهَا وَبُطُونُهَا مِنْ ظُهُورِهَا فَقَامَ أَعْرَابِيٌّ.

فَقَالَ: لِمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ.

قَالَ: لِمَنْ أَطَابَ الْكَلاَمَ وَأَطْعَمَ الطَّعَامَ وَأَدَامَ الصِّيَامَ وَصَلَّى لِلَّهِ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ.

Maksudnya:
Sesungguhnya di dalam syurga terdapat bilik-bilik yang bahagian luarnya terlihat dari dalam dan bahagian dalamnya terlihat dari luarnya. Kami bertanya: “Untuk siapakah (bilik-bilik itu) ya Rasulullah?” Sabda baginda: “Kamar-kamar itu Allah sediakan untuk orang yang bercakap dengan lemah lembut, memberikan makanan, senantiasa melakukan ibadah puasa dan mendirikan solat semata-mata kerana Allah pada waktu malam di saat manusia lain sedang tidur.” - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Bir wa al-Sholaah, no: 1907.

Membentuk Keperibadian Yang Mulia
Mendirikan solat Tahajjud dapat membentuk keperibadian mulia seperti tawadhu’ (merendah diri), bertakwa, menghindari sikap sombong dan pemurah dengan sedekah jariah.

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا

Maksudnya:
Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. - al-Furqaan (25) : 63-64


إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya:
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat Tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. - al-Sajda (32) : 15-17

Ditinggikan Darjat Bagi Mereka Yang Solat Tahajjud.
Darjat mereka yang mengerjakan solat Tahajjud ini adalah lebih tinggi dari mereka yang tidak mengerjakannya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya:
Adakah orang yang berbakti kepada Allah pada waktu malam, bersujud serta berdiri dan takut pada siksa hari akhirat dan mengharap rahmat Tuhannya itu akan sama dengan orang yang tidak sedemikian. Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. - al-Z’Umar (39) : 9

Termasuk Dalam Golongan Yang Dicintai Allah
Bagi mereka yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat Tahajjud, mereka termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala

Daripada Abu Dzar, daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda: Ada tiga golongan orang yang dicintai Allah… (yang di antaranya adalah)

رَجَلٌ سَافَرَ مَعَ قَوْمِ فَارْتَحَلُوْا حَتَّى إِذَا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ وَقَعَ عَلَيْهِمْ الْكَرَى أَوِ النُّعَاسُ

فَنَزَلُوْا فَضَرَبُوْا بِرُؤُوسِهِمْ ثُمَ قَامَ فَتَطَهَّرَ وَصَلَّى رَغْبَةً للهِ عَزَّ وَجَلَّ وَرَغْبَةً فِيْمَا عِنْدَهُ.

Maksudnya:
Seorang yang bermusafir bersama sekelompok orang lalu mereka berangkat hingga apabila tiba waktu akhir malam, mereka mengantuk lalu mereka turun (dari kenderaan) dan tertidur, sementara lelaki itu bangkit lalu berwuduk dan solat kerana cinta kepada Allah, dan cinta pada apa yang berada di sisi-Nya. – Hadis riwayat Imam al-Thabrani dalam al-Sunan al-Kubra

q Mudah Untuk Khusyuk.

Pada malam yang hening lagi damai menyebabkan minda seseorang itu merasa tenang. Lantaran itu solat pada waktu malam sebegini terutamanya ketika sepertiga malam yang akhir memudahkan kita untuk mengerjakannya dengan penuh khusyuk dan bacaan yang lebih baik. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا

Maksudnya:
Sebenarnya solat dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. – al-Muzzammil (73) : 6

Mendekatkan Diri Kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
Solat Tahajjud dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, menutup kesalahan kita yang lalu serta menghapuskan dosa-dosa kita. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَإِنَّ قِيَامَ اللَّيْلِ قُرْبَةٌ إِلَى اللَّهِ

وَمَنْهَاةٌ عَنْ الْإِثْمِ وَتَكْفِيرٌ لِلسَّيِّئَاتِ.
Maksudnya:
Hendaklah kalian melaksanakan solat malam kerana solat malam itu merupakan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, ibadah yang mendekatkan diri kepada Tuhan kalian, serta penutup kesalahan dan penghapus dosa. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Da’waat, no: 3472.

Demikianlah beberapa keutamaan yang dapat diperolehi bagi mereka yang mengerjakan solat Tahajjud. Jelaslah bagi kita bahawa untuk mereka yang mengerjakan solat Tahajjud, mereka akan mendapat limpah kurnia daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tidak ada tolok bandingnya sedangkan bagi mereka yang meninggalkan ibadah yang mulia ini, mereka mengalami kerugian yang amat besar. Sekiranya seseorang itu sedang menghadapi keadaan yang sukar ataupun ditimpa kesusahan maka pohonlah pertolongan Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui solat Tahajjud ini. Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak menghadapi perang Badar dan Tabuk yang merupakan satu ujian yang besar bagi umat Islam, baginda telah melakukan solat Tahajjud ini untuk memohon pertolongan serta perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ غَزْوَةِ تَبُوكَ قَامَ مِنْ اللَّيْلِ يُصَلِّي

فَاجْتَمَعَ وَرَاءَهُ رِجَالٌ مِنْ أَصْحَابِهِ

Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan solat malam (Tahajjud) pada saat perang Tabuk, maka para sahabat berkumpul di belakang baginda untuk menjaganya sampai baginda menyelesaikan solatnya dan berpaling menghadapi mereka. – Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 6771.

Hanya insan yg diizinkanNya dapat menghabiskan panduan solat sunat ini. Tidak semua yang dapat menghabiskannya.

Allahu Allah.

Bersyukurlah kepadaNya atas nikmat-nikmatNya.

Moga Allah redha

Sumber

p/s : Sekadar berkongsi. Segala persoalan sudah terjawab



Terima Kasih Kerana Membaca . Saya Sayang Anda :)

No comments:

Post a Comment